fbpx

KPM tubuh enam task force perkasa haluan pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menubuhkan enam pasukan petugas khas (task force) di bawah reformasi pendidikan bagi memperkasakan haluan pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, antaranya adalah Pasukan Petugas Khas Intervensi Kurikulum yang merupakan pasukan yang bertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan kurikulum selaras dengan hasrat dan matlamat kurikulum persekolahan.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas tersebut akan mengenal pasti isu dan masalah berkaitan pelaksanaan kurikulum sedia ada.

“Antara strategi yang dilaksanakan adalah menyediakan intervensi kurikulum bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik Tahap I bertujuan membantu murid menguasai asas kemahiran berbahasa termasuk menguasai asas membaca dan menulis.

“Bagi tujuan tersebut, KPM telah menyediakan Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3.0 bagi mata pelajaran tersebut,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Senator Datuk Mustafa Musa berkenaan status pelaksanaan dan input dari inisiatif Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah untuk menjajarkan semula kurikulum pendidikan rendah.

Sementara itu, Kah Woh berkata, penjajaran kurikulum bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan kurikulum sedia ada merangkumi beberapa aspek.

“Itu seperti perubahan pelaksanaan kandungan bagi Kemahiran Saintifik dan Peraturan Bilik Sains, perubahan pelaksanaan kandungan bagi kemahiran yang perlu dipelajari dalam sebahagian topik, penggunaan istilah dan ayat yang lebih ringkas dan mudah bagi penulisan Standard Pembelajaran dan gabungan beberapa Standard Pembelajaran dan Standard Kandungan.

“Penjajaran kurikulum bagi Bahasa Melayu melibatkan penyusunan semula Standard Pengajaran (SP) dengan penambahan cadangan aktiviti bagi membantu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan kurikulum dalam bilik darjah,” ujarnya.

Selain itu katanya, penjajaran kurikulum bagi Bahasa Inggeris pula melibatkan penyusunan semula SP mengikut kluster kemahiran reseptif
(mendengar dan membaca) dan kemahiran produktif (bertutur dan menulis).

“Penyusunan mengikut kluster ini membantu murid menguasai kemahiran berbahasa dengan lebih baik dan berkesan.

“Selain itu KPM telah mengambil langkah proaktif bagi menanam minat murid terhadap bidang sains dan matematik serta kemahiran guru melalui
Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI