KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) komited memperkasakan akses perkhidmatan rawatan bagi menangani isu kesihatan mental yang dihadapi masyarakat Malaysia.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM amat prihatin terhadap isu kesihatan mental yang dihadapi oleh masyarakat negara ini.
“KKM menyediakan perkhidmatan pengesanan awal, intervensi dan rawatan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan bandar dan luar bandar yang mengalami masalah kesihatan mental.
“Perkhidmatan ini boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 68 buah hospital dan 37 buah Pusat Kesihatan Mental Komuniti (MENTARI),” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Nelson W Angang yang meminta KKM menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan kesihatan mental di seluruh negara.
Sementara itu Lukanisman berkata, terdapat sekurang-kurangnya satu pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau MHPSS (Mental Health and Psycososial Support Services) di setiap daerah yang terdiri daripada Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pakar Psikiatri, Pegawai Psikologi, Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Pegawai Perubatan dan juga Paramedik.
“KKM juga telah memperluas perkhidmatan kaunseling di peringkat kesihatan primer melalui penempatan 200 kaunselor secara kontrak.
“Kaunselor kontrak ini telah ditempatkan di 167 Pejabat Kesihatan Daerah bagi memberikan perkhidmatan di klinik kesihatan seluruh negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE