SEBERANG PERAI – Karnival UDA 2024 yang masuk tahun ketiga penganjurannya telah ‘berkampung’ di Pulau Pinang selama tiga hari bermula 26 Julai lalu dengan menampilkan beberapa kelainan dan konsep baharu bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, karnival tersebut menampilkan tujuh zon untuk seisi keluarga yang merangkumi Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa & Ma dan pelbagai jualan lain.
“Karnival ini dianjurkan bagi mencapai dua matlamat utama iaitu memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih mampan dan berdaya saing, selain membantu komuniti setempat mendapatkan produk hartanah UDA yang bersesuaian selaras dengan fokus kami untuk menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar.
“Kami membawa 160 usahawan dengan anggaran nilai jualan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2024@ Penang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di tapak parkir Gravitas Jalan Baru Prai di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi UDA Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.
Mohd. Salem menjelaskan, pelbagai tarikan baharu diketengahkan dalam program kali ini seiring dengan usaha UDA bekerjasama dengan rakan strategiknya seperti Majlis Sukan Negara, Ideaktiv, DC Healthcare Holdings Berhad, Angkatan Tentera Malaysia, CelcomDigi dan Majlis Bandaraya Seberang Perai bagi menyalurkan maklumat bermanfaat kepada pengunjung.
“Kerjasama itu dapat membuka peluang padanan perniagaan selain meluaskan skop perniagaan dan perkongsian ilmu agar dapat memenuhi keterangkuman sosial serta kesaksamaan peluang khususnya di kalangan usahawan asnaf dan kurang upaya.
“Pelbagai gerai jualan usahawan, pameran agensi kerajaan dan rakan strategik, aktiviti sukan, konsert dan Jualan Madani oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut disediakan sepanjang karnival berlangsung dengan jangkaan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Salem berkata, UDA selaku peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset menganggarkan jualan hartanah bernilai RM37 juta sepanjang tiga hari karnival itu dengan memfokuskan kepada rangkaian produk hartanah terbaharu untuk semua generasi dari utara ke selatan Semenanjung dan di Sarawak.
“Tahun ini, UDA menumpukan kepada 13 produk yang merangkumi pelbagai segmen hartanah seperti rumah mampu milik, rumah kategori terbuka, lot niaga serta ruang kedai pejabat seperti Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu, Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan serta Areca Terrace (Fasa 4B) dan UDA Heights (Fasa 1C ) di Bandar UDA Utama.
“Kita juga dalam perancangan melancarkan beberapa hartanah baharu lagi pada tahun ini.
“Ia terdiri daripada Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching, Crescent Dew (Fasa 1B) dan Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya,” jelasnya.
Selepas Pulau Pinang, Karnival UDA 2024 bakal menjelajah ke Lembah Klang pada 27 hingga 29 September ini diikuti Johor (11 hingga 13 Oktober) dan Sarawak (25 hingga 27 Oktober). -KOSMO! ONLINE