BAGAN SERAI – Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi membantu hampir 10,000 pesawah di seluruh negara yang terjejas akibat bencana kemarau.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan laporan Jabatan Teknikal Pertanian, sehingga Mei lalu sebanyak 17,373.87 hektar petak sawah padi di seluruh negara terjejas.
“Setakat ini berdasarkan laporan yang diterima, kita dimaklumkan kawasan sawah padi yang terlibat itu ialah di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan seramai 8,788 pesawah.
“Manakala di Kerian ini pula adalah sebanyak 4,890 hektar sawah terjejas melibatkan 2,162 pesawah akibat musim kemarau yang melanda,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri program Tanggungjawab Sosial Korporat 2024 Jom Pakat Pi Bendang di Parit Haji Ali Alor Pongsu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan itu melibatkan pelbagai agensi seperti LPP, Jabatan Pertanian, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
“Jawatankuasa khas itu akan mengumpulkan data untuk laporan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tujuan bantuan Tabung Bencana.
“Semua Pertubuhan Peladang Negeri diminta mengumpul data jumlah pesawah yang terjejas bagi mengelakkan ada pesawah tercicir daripada mendapat bantuan yang berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE