LIPIS – Biarpun masih dalam tempoh berpantang, seorang wanita tetap tabah menjaga suaminya yang diserang angin ahmar sejak Mac lalu.
Nur Shafiqa Abdul Rahim, 33, dari Kampung Kuala Lanar berkata, sudah menjadi rutinnya untuk menguruskan suaminya, Mohd. Hamdan Che Mat, 43, termasuk memandikan dan memberi susu khas melalui tiub.
“Walaupun saya masih dalam tempoh berpantang anak ke lima, namun segala kerja rumah termasuk menguruskan anak sekolah dan suami yang lumpuh perlu dilakukan.
“Kami sekeluarga juga hilang punca pendapatan selepas suami yang sebelum ini bekerja sebagai peniaga roti canai di bandar Lipis diserang angin ahmar.
“Keadaan itu menyebabkan perniagaan yang diusahakan bersama terpaksa ditutup,” katanya di sini semalam.
Nur Shafiqa memberitahu, beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu, suaminya diserang angin ahmar buat kali pertama ketika bangun dari tidur hingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan menelan.
Katanya, suami kemudiannya dikejarkan ke Hospital Lipis dan doktor mengesahkan badan sebelah kanan diserang angin ahmar.
“Selepas melakukan fisioterapi dan mengurut, suami dapat bangun serta bergerak perlahan-lahan.
“Dua bulan kemudian sekali lagi suami diserang angin ahmar dan hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat darah beku di bahagian kepala sebelah kiri.
“Pembedahan untuk membuang darah beku juga tidak dapat dilakukan kerana terlalu berisiko, jadi suami bergantung kepada ubat cair darah,” ujarnya.
Tambahnya, kira-kira RM1,500 diperuntukan setiap bulan untuk membeli keperluan suaminya termasuk susu berharga RM73 sekotak yang hanya mampu bertahan dalam tempoh dua hari.
Katanya, suaminya mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 dan bantuan zakat RM600, namun ia masih belum mencukupi.
“Saya juga runsing memikirkan keperluan lima anak kami iaitu berusia antara sebulan hingga 6 tahun,” ujarnya.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Nur Shafiqa di talian 010-9155515 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank 2006111000270105.