SINGAPURA – Seorang isteri sanggup melindungi suaminya yang diserang menggunakan pisau di sebuah kedai kopi di Chinatown, Singapura, lapor laman berita AsiaOne semalam.
Kejadian berlaku disebabkan perbalahan tentang tempat duduk di luar sebuah kedai gunting rambut, Sabtu lalu.
Bercakap kepada akhbar Shin Min Daily News, wanita dikenali sebagai Wang, 53, berkata, dia dan suaminya pergi ke kedai gunting rambut berhampiran rumah mereka.
Semasa di sana, mereka bertengkar dengan seorang lelaki lain mengenai tempat duduk di luar premis tersebut sebelum pergaduhan itu berakhir.
Selepas memotong rambut, pasangan suami isteri itu menuju ke kedai kopi berhampiran untuk menjamu selera.
Namun, lelaki berkenaan datang semula sebelum menikam suami Wang.
Malangnya, wanita itu turut ditikam di belakang badannya ketika mahu melindungi suaminya, menyebabkan dia cedera.
“Penyerang melarikan diri apabila seseorang menjerit. Saya mahu mengejarnya, tetapi cedera dan kehilangan banyak darah,” kata si suami.
Kedua-dua mereka menerima rawatan di Hospital Besar Singapura.
Penyerang berkenaan, Mun Yew Wah, 77, kemudian ditangkap dan didakwa pada Ahad lalu kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. – AGENSI