KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan teknologi senaman pneumatik terkini bagi pusat rehabilitasinya dengan gabungan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager yang pertama di Asia untuk merawat dan memulihkan pesakit jantung.
Teknologi tersebut merupakan inovasi dari Jerman, Finland dan Belanda serta dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada alat senaman bagi memantau kesihatan pesakit sewaktu menjalani rawatan di situ.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan berkata, pesakit jantung yang mengambil ubat atau selepas menjalani pembedahan juga perlu mengikuti sesi di pusat rehabilitasi.
“Ia terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan semata-mata senaman, bahkan pesakit turut dipantau dari segi pemakanan dan gaya hidup.
“Justeru, teknologi baharu dapat membantu pesakit jantung untuk menjalani senaman yang selamat kepada mereka memandangkan terdapat alat boleh memantau nadi, paras oksigen dalam darah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan penggunaan alat senaman dilengkapi teknologi baharu terkini itu, senaman yang dijalani oleh pesakit juga lebih selamat dan tidak membahayakan diri.
Katanya, IJN turut menawarkan pelbagai pakej harga bagi menjalani rawatan di pusat rehabilitasinya dengan harga tertentu kepada pesakit.
Sementara itu, antara alat senaman yang mengguna gabungan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager digunakan IJN seperti alat senaman basikal dan ‘treadmill’. – KOSMO! ONLINE