NEW DELHI – Sepasang pengantin baharu di Visakhapatnam, India mengundang perhatian pengguna media sosial selepas menghasilkan kad jemputan perkahwinan menyerupai iPhone, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Rakaman yang dimuat naik di Instagram oleh akaun @laxman_weddingcards memaparkan kad jemputan tersebut mempunyai tiga halaman.
Kad jemputan itu juga memiliki foto pasangan pengantin di halaman depan, sama seperti meletakkan ‘wallpaper’ di iPhone.
Salah satu halaman menampilkan perbualan seperti aplikasi WhatsApp dan beberapa butiran lain yang menarik.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 15 juta tontonan. Rata-rata netizen terhibur dengan keunikan dan kreativiti pasangan tersebut.
“Apabila seorang pereka berkahwin! Saya suka idea itu!” kata netizen.
“Kad jemputan perkahwinan yang sangat mahal,” kata netizen lain. – AGENSI