LONDON – Liverpool bersedia untuk berjuang bagi mendapatkan khidmat pemain PSV, Joey Veerman sebagai persediaan untuk kemungkinan mereka kehilangan salah seorang pemain di bahagian tengah.
Setakat ini, Liverpool masih belum menandatangani pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini ketika era baharu di bawah kendalian Arne Slot yang telah menggantikan Jurgen Klopp.
Liverpool bakal kehilangan Thiago Alcantara, Joel Matip dan Adrian pada jendela perpindahan kali ini dan mereka juga telah membenarkan Calvin Ramsay untuk dipinjamkan ke Wigan Athletic.
Situasi itu menyebabkan Liverpool dalam proses mendapatkan pemain baharu dibeberapa posisi antaranya pemain tengah, pemain pertahanan tengah serta pemain bek kanan untuk mengisi keperluan.
Sebelum ini, Marseille dilaporkan sudah menghantar bidaan pertama untuk mendapatkan Wataru Endo, namun ia ditolak kerana Liverpool menganggap nilainya sangat rendah berbanding ketika mereka mendapatkan pemain itu dari Stuttgart musim panas lalu.
Bagaimanapun, Liverpool tidak menutup rundingan tersebut menyebabkan mereka menamakan Veerman sebagai pemain gantian sekiranya urusan melibatkan perpindahan Endo ke Marseille berjaya mencapai kata sepakat.
The Reds dilapor meminati gaya permainan Veerman yang menikmati musim cemerlang di PSV ketika membantu pasukan itu menjulang gelaran Eredivisie, malah dia juga dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan liga tersebut. – AGENSI