MUAR – Remaja lelaki yang hilang sejak empat hari lalu, Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy, 14, dipercayai tidur dan berada di dalam stor di dalam rumah neneknya.
Salah seorang penduduk kampung berkenaan dikenali sebagai Norazlin Alimuda berkongsi di ruangan komen Polis Daerah Muar bahawa Effzaldanish menyorok di bawah katil atau belakang almari di rumah yang didiaminya bersama neneknya.
“Dia menyorok di dalam rumah sahaja budak bertuah ni. Saya orang Pagoh. Dengar kata dia menyorok bawah katil dan belakang almari macam tu,” kongsinya kepada warga maya yang lain.
Walaubagaimanapun kesahihan kenyataan tersebut belum disahkan pihak Polis Daerah Muar.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Assisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, punca kehilangan serta di mana pelajar tingkatan 2 itu berada selama empat hari masih dalam siasat.
Ujar Raiz Mukhliz, pihak polis akan memberikan laporan penuh dalam masa yang terdekat. – KOSMO! ONLINE