SHAH ALAM – Dua profesor universiti awam (UA) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 58 pertuduhan keseluruhan membuat tuntutan palsu antara 2019 hingga 2022.
Tertuduh, Prof. Datin Dr. Hapizah Md. Nawawi, 64, dan Prof. Dr. Lee Lai Soon, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Hapizah didakwa 18 pertuduhan bersubahat dengan seorang wanita berusia 28 tahun untuk memperdaya empat pegawai Bendahari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan dokumen yang mengandungi tuntutan palsu bagi bayaran gaji pembantu penyelidik.
Kerja penyelidikan tersebut bertajuk Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI) sebanyak RM38,000 yang tidak dilakukannya.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik, UiTM Kampus Sungai Buloh bermula April 2021 hingga Oktober 2022.
Lai Soon pula didakwa 20 pertuduhan dengan curangnya menggunakan set dokumen sebagai tulen mengandungi butir matan palsu untuk memperdaya lapan pegawai Bahagian Kewangan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tuntutan bayaran upahan enumerator berjumlah secara berperingkat berjumlah RM45,000.
Perbuatan itu dilakukan di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) UPM, Serdang antara Oktober 2019 hingga Jun 2022.
Kedua-dua pensyarah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Lai Soon turut dituduh 20 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Anis Najwa Nazari menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, lapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Peguam Shamsul Sulaiman mewakili Hapizah bagaimanapun memohon pasport tidak diserahkan susulan anak guamnya perlu menghadiri persidangan dan penyelidikan di India dan Bandung, Indonesia masing-masing pada 24 hingga 28 Ogos, 4 hingga 10 September dan 4 hingga 10 Oktober.
Lai Soon diwakili Peguam Chen Woon Yong pula merayu jaminan rendah kerana anak guamnya komited terhadap komuniti akademik dan berkhidmat dengan UPM sejak 2006 serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM30,000 dan RM20,000 bersama seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan pendakwaan.
Anita turut membenarkan rayuan Hapizah agar tidak menyerahkan pasport tersebut.
Sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 23 September ini. – KOSMO! ONLINE