fbpx

Cliff Umar didenda RM5,500 miliki, ambil dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cliff Umar ketika hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Juara program realiti, Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7), Cliff Umar didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri, Mei lalu.

Majistret Sasha Diana Sabtu menjatuhi hukuman itu selepas Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani tambahan penjara 13 bulan sekiranya gagal bayar denda.

Cliff yang merupakan bekas vokalis Project Pistol tersebut juga dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Clif didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylymorphine seberat 0.9 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya kira-kira pukul 3.30 petang pada 26 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Dia juga dituduh dengan sengaja memberikan diri sendiri dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (thc) di tandas balai polis USJ8, Subang Jaya kira-kira pukul 6 petang pada tarikh sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan perlu menjalani pengawasan antara dua hingga tiga tahun.

Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat rondaan mendapati mendapati tertuduh menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada hari kejadian.

Bagaimanapun, artis ini bertindak melarikan diri lalu terjatuh ke bahu jalan sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badannya sebelum menyerahkan dadah sendiri ketika diperiksa anggota polis.

Peguam Sallehuddin Salam mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon hukuman denda minima susulan menanggung isteri dan empat anaknya.

“Anak guam saya juga mempunyai masalah kewangan dan tiada pendapatan tetap dengan bergantung sebagai kerjayanya sebagai pemuzik,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) ekoran kekerapan kes dan melibatkan kepentingan awam. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI