KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencabul seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang merupakan anak asuhan ibunya, pada minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Irwan Che Leh, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual dengan mencabul seorang bayi perempuan berusia lima bulan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 24 Julai lalu.
Muhammad Irwan didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan berikutan perbuatan itu merupakan satu jenayah yang serius dan melibatkan bayi.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE