fbpx

Bilangan perusahan kecil, sederhana meningkat tahun lalu -Ewon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon menunjukkan laporan prestasi PMKS pada Majlis Ewon ketika berucap pada majlis majlis Pengumuman Prestasi PMKS 2023 dan sesi ramah mesra bersama media di SME Corp di Kuala Lumpur hari ini. -Foto AFIQ RAZALI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini telah mula mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi atau ‘scale-up.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Operasi, Datuk Ewon Benedick berkata, situasi itu dibuktikan apabila perusahaan bersaiz kecil meningkat sebanyak 35.8 peratus pada tahun lalu.

Manakala katanya, bagi perusahaan bersaiz sederhana ia meningkat sebanyak 7.9 peratus.

Difahamkan, jumlah keseluruhan perusahaan kecil ketika ini adalah sebanyak 314,465, manakala bagi perusahaan sederhana adalah 16,839.

“Data pertumbuhan PMKS menunjukkan perkembangan positif di mana terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9 peratus iaitu daripada 923,667 perusahaan pada tahun 2022 kepada 767,421 perusahaan pada tahun 2023.

“Ini merupakan satu petunjuk bahawa PMKS Malaysia telah mula beralih ke tahap yang lebih tinggi atau scale-up,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengumuman Prestasi PMKS 2023 dan sesi ramah mesra bersama media di SME Corp di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, pertumbuhan positif ini juga dapat dilihat apabila ia merentasi petunjuk makroekonomi utama seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), eksport, guna tenaga dan produktiviti.

Katanya, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada minggu yang lalu, KDNK PMKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5 peratus iaitu mencapai RM613.1 bilion pada tahun 2023.

Jumlah itu jelasnya lebih tinggi daripada RM584.1 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Prestasi pertumbuhan PMKS ini bukan sahaja mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 3.6 peratus tetapi juga, mengatasi pertumbuhan KDNK bukan PMKS sebanyak 2.7 peratus.

“Hasil daripada kadar pertumbuhan yang lebih pantas pada tahun 2023, sumbangan PMKS kepada KDNK keseluruhan meningkat kepada 39.1 peratus berbanding 38.6 peratus yang direkodkan pada tahun 2022,”ujarnya.

Ewon berkata, pihaknya juga optimis akan dapat mencapai sasaran sumbangan PMKS sebanyak 41 peratus kepada KDNK pada tahun hadapan seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Justeru, beliau berharap agar Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada PMKS pada pembentangan Belanjawan 2025 akan datang.

“Dengan adanya, suntikan belanjawan yang lebih besar, ia akan berupaya meningkatkan daya saing dan produktiviti PMKS, seterusnya meningkatkan prestasi PMKS dalam pembangunan ekonomi Malaysia,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI