fbpx

Bekas jaga insaf, menyesal sebabkan kematian tukang masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini. Foto oleh SAFINA RAMLI/KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang bekas pengawal keselamatan yang menyebabkan kematian seorang tukang masak, Chua Kok Seong, 42, di pondok pengawal, Desa May, Persiaran Paya Terubong, empat tahun lalu, dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Quay Chew Woon menjatuhi hukuman itu terhadap Ong Lai Seng, 69, selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Ketika membacakan keputusan, Chew Woon berkata, keputusan itu diputuskan selepas mendengar hujahan, mitigasi dan kepentingan awam berkaitan kes itu.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara daripada tarikh tangkap iaitu pada 5 Disember 2020. Memandangkan tertuduh dilahirkan pada 13 Ogos 1955, dan berusia 69 tahun, tertuduh dikecualikan daripada hukuman sebatan,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Lee Jung Keong dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam, Helmi Hassan.

Ketika prosiding, peguam tertuduh, Helmi memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kepada tertuduh memandangkan dia telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa serta kos mahkamah.

“Tertuduh telah insaf, menyesal dan memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa dan kami memohon agar mahkamah mengurangkan tempoh penjara bagi membolehkan tertuduh menghadapi hari mendatang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI