BEIRUT – Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas pinggir bandar selatan Beirut, ibu kota Lebanon yang mempunyai kehadiran kuat kumpulan Hizbollah, lapor laman berita The New Arab.
Laporan mencadangkan bahawa Rejim Zionis menyasarkan seorang tokoh kanan dalam kumpulan tersebut, Fuad Shukr.
Satu letupan kuat kedengaran, manakala kepulan asap boleh dilihat menjulang naik ke langit di pinggir bandar tersebut sekitar pukul 7.40 malam (waktu tempatan), kata seorang saksi kepada agensi berita Reuters.
Sumber keselamatan mengesahkan bahawa serangan berlaku di Dahieh, dengan ambulans bergegas ke tempat kejadian.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata, tiga orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh.
“Jumlah kematian (belum muktamad) akibat serangan Israel di pinggir selatan Beirut adalah tiga orang termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan.
“Seramai 74 orang lagi cedera, manakala kerja-kerja mencari orang hilang di bawah runtuhan masih dijalankan,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, akhbar Arab News melaporkan, Fuad dianggap pegawai tentera kedua tertinggi dalam kumpulan Hizbollah.
Namun, beberapa sumber kumpulan pejuang itu menjelaskan bahawa operasi cubaan membunuhnya gagal dan Fuad ‘tidak dapat dikesan’. – AGENSI