fbpx

Agong, Raja Permaisuri berkenan saksikan persembahan pantomim Bukit Jenalik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini. Foto OFFICIALSULTANIBRAHIM.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi, Baginda berdua turut berkenan menyaksikan kemuncak acara iaitu persembahan pantomim khas ‘OP SUBUH – Tragedi Bukit Jenalik, Sauk’.

Persembahan itu diadakan bagi menyingkap kembali sorotan pengorbanan para wira negara dalam menjaga kedaulatan serta keamanan negara.

Dalam majlis yang sama, Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan menyantuni ahli keluarga dua wira negara iaitu mendiang Sarjan R. Sanghadevan (Polis Diraja Malaysia) dan mendiang Sarjan Mathew Medan (Grup Gerak Khas) yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Pantomim OP SUBUH buat pertama kalinya menampilkan penglibatan perwira daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dalam satu operasi sama yang dipersembahkan pada Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan.

Persembahan pantomim yang menyentuh jiwa itu dijayakan oleh pelakon-pelakon terdiri daripada anggota ATM dan PDRM serta beberapa waris sebenar kepada wira negara yang terkorban.

Turut dipersembahkan dalam pantomim itu bacaan sajak ‘Pahlawanku’ yang disampaikan oleh Sarjan Siti Nur Aini Jasni dari ATM dan Inspektor Muhammad Faizul Mustafa (PDRM).

Istiadat Perbarisan anjuran ATM berkonsepkan perbarisan statik dengan penglibatan empat detasmen terdiri daripada ATM, PDRM, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Perbarisan diketuai Leftenan Kolonel Abang Raduan Abang Madihi dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kekuatan seramai 700 pegawai dan anggota ATM serta PDRM.

Terdahulu, Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diiringi tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir dalam Istiadat Perbarisan hari ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI