fbpx

14 gerai durian diperiksa di KL, aduan tipu harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Fadli Che Mi memeriksa pematuhan penjual durian dibawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN di sekitar premis di Kepong Baru. Foto : Saddam Yusoff/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) memeriksa sebanyak 14 gerai durian di sekitar ibu negara selepas menerima aduan daripada orang awam berkaitan tanda harga, iklan mengelirukan dan perniagaan secara dalam talian.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, fokus utama pemeriksaan adalah berkaitan pematuhan oleh penjual durian di bawah akta-akta yang digariskan kementeriannya.

Katanya, Ops Duri dijalankan sejak tahun 2018 melibatkan 37 pemeriksaan namun tiada kes direkodkan pada tahun ini bagi peniaga durian.

“Tahun ini kami menerima empat aduan melibatkan isu tiada tanda harga, iklan mengelirukan dan perniagaan secara dalam talian yang menjual raja buah tersebut.

“Ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan tidak meletakkan tanda harga, menipu berat timbangan dan membuat iklan mengelirukan,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, permintaan buah durian sangat menggalakkan dan pelbagai promosi dibuat para penjual untuk menarik minat pembeli.

Pemeriksaan hari ini dibuat di sekitar Kepong Baru melibatkan 10 anggota dengan memberi tumpuan kepada pematuhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

KPDN Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk membuat pemeriksaan dan hebahan bagi memastikan peniaga durian berniaga secara jujur dan mematuhi peraturan yang digariskan KPDN.

“Sebanyak 57 kes dicatatkan bagi kesalahan berkaitan penandaan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi tahun ini dengan jumlah kompaun yang dikenakan berjumlah RM16,400.

“Bagi kesalahan berkaitan alat timbangan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, KPDN mencatatkan sebanyak 64 kes berjumlah RM21,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI