PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dua minggu lalu dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.
Menurut laporan media antarabangsa, pembantunya, Sufi Yusoff berkata, kesihatan Dr. Mahathir semakin baik dan beliau dibenarkan ‘berehat di rumah’.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN pada 15 Julai lalu kerana batuk, lima hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-99.
Kali terakhir beliau mendapatkan rawatan di IJN adalah pada Januari lalu akibat masalah jangkitan dan dibenarkan keluar pada Mac.
Untuk rekod, Dr. Mahathir yang mempunyai sejarah masalah jantung pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1989 dan 2007. – KOSMO! ONLINE