AMPANG – Gara-gara berang selepas isteri minta diceraikan, seorang lelaki nekad mencederakan pasangannya itu dan anak lelaki mereka dengan pisau dalam kejadian di Jalan Besar Ampang di sini, Sabtu lalu.
Kejadian pada pukul 7.10 malam dimaklumkan orang awam melalui panggilan telefon selepas mendapati mangsa cedera akibat ditikam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa berusia 33 dan enam tahun mengalami kecederaan akibat luka terkena senjata tajam.
“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan kerana suspek tidak mahu menceraikan isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azam, suspek lelaki berusia 33 tahun ditahan dan polis merampas dua bilah pisau pada pukul 12.15 tengah malam, kelmarin di Pandan Indah.
Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 324 dan 326A Kanun Keseksaan hari ini. Lelaki itu tidak membayar wang jaminan dan dihantar ke Penjara Satelit Kuala Langat sementara menunggu tarikh perbicaraan. -KOSMO! ONLINE.