IPOH – Seorang lelaki hidup dalam ketakutan selepas wanita yang baru dikenali melalui Facebook selama tiga hari mengugut untuk menyebarkan gambar dan video bogelnya di media sosial.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Teh, 47, berkata, dia terjerat dengan ‘cinta palsu’ wanita itu sehingga tergamak berbogel ketika membuat panggilan video.
Katanya, tindakannya itu mengundang padah apabila tanpa disedari aksi tersebut telah dirakam wanita terbabit.
“Melalui panggilan video itu, dia meminta saya membuka pakaian dan semasa menunggu gilirannya, dia mengugut saya untuk membuat bayaran jika tidak mahu video tersebut tersebar.
“Saya terkejut dengan tindakannya kerana sepanjang tiga hari berkawan, kami tiada masalah. Tidak sangka itu cara dia memeras ugut saya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, dia turut dihubungi seorang lelaki melalui Whatsapp yang meminta bayaran RM6,000 selain melarangnya membuat laporan polis berkaitan isu itu.
Teh yang bekerja sebagai penjaja tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu sebelum suspek mengurangkannya kepada RM3,000.
“Pemeriksaan mendapati akaun bank yang digunakan milik wanita Melayu dipercayai keldai akaun.
“Setakat ini, saya tidak membuat sebarang bayaran dan membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya gambar dan video tidak senonoh itu disebarkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah berkata, pihaknya percaya akaun bank yang digunakan sindiket itu milik warga tempatan yang dijadikan sebagai keldai akaun.
Katanya, penipuan menggunakan keldai akaun bukanlah perkara baru kerana banyak aduan telah diterima berkaitan masalah sama.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan atau meminjamkan akaun bank kepada orang lain kerana berisiko disalah guna sindiket penipuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE