fbpx

PSN bakal tawar harga 20 peratus lebih murah rawatan kesuburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juwairiya (duduk dua kiri) dan Anfaal (duduk tengah) bersama peserta SKNS. FOTO AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pusat Subferteliti Negara (PSN) yang dijangka beroperasi pada 2029 akan menawarkan harga sehingga 20 peratus lebih rendah kepada pasangan suami isteri yang menjalani rawatan kesuburan.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Juwairiya Zulkifli berkata, PSN yang pertama di negara ini merupakan inisiatif dalam membantu pasangan yang berdepan masalah mendapatkan zuriat memandangkan harga rawatan mencecah sehingga RM30,000.

“Pusat ini menawarkan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) dan permanian beradas (IUI) . PSN menawarkan harga lebih rendah antara 15 ke 20 peratus dan subsidi ditanggung kerajaan.

“Pasangan yang berusaha mendapatkan anak digalakkan menerima rawatan di pusat ini, sama ada suami atau isteri. Kita ada tenaga pakar untuk membantu,” kata pada sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2024 yang dirasmikan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.

PSN diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dibina di Seksyen 17, di sini. Selain itu terdapat tiga klinik subferteliti di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Juwairiya memaklumkan kadar kesuburan jumlah (KJJ) di negara ini sejak lebih lima dekad lalu telah menurun mendadak daripada 6.7 orang anak bagi seorang wanita pada tahun 1957 kepada 1.6 orang anak pada tahun 2022.

Jelasnya, antara faktor utama penurunan KJJ ini adalah disebabkan berkahwin lewat, kecendurungan mempunyai saiz keluarga kecil atas pelbagai punca seperti kemampuan kewangan dan masalah ketidaksuburan atas sebab kesihatan.

“Jika kadar kesuburan terus menurun dan tiada intervensi, penduduk Malaysia dijangka akan mencapai jumlah maksimum penduduk seramai 46 juta orang pada tahun 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk ada tahun 2072.

“Ini bermakna (pada tahun 2072) tiada pertambahan jumlah penduduk dan kekurangan sumber tenaga kerja akan menjadi lebih sehingga menjejaskan pembangunan negara,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI