PENGGAYAAN barangan fesyen daripada kulit sememangnya boleh mengubah gaya biasa kepada look yang lebih ranggi dan menawan.
Barangan kulit juga mampu kekal evergreen dan relevan biarpun selepas dipakai bertahun lamanya, selain sesuai digayakan di pelbagai acara.
Siapa sangka, minat menghasilkan barangan kulit yang dahulunya hanya bermula sebagai hobi, akhirnya menjadi sumber pendapatan tetap buat Kherul Kamal Mohd. Rubi.
Minat tersebut seterusnya mendorong anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu untuk menubuhkan butik jenama barangan kulit sendiri dikenali sebagai Rushai Leather sejak Oktober 1994.
Memulakan bicara, Kherul Kamal yang lebih mesra disapa Kamal memberitahu pada asalnya, dia mula membuat produk berasaskan barangan kulit sekadar hobi yang kemudiannya dijual kepada saudara dan rakan-rakan.
“Begitupun, tidak sangka pula ia menjadi kerjaya saya selama 30 tahun lamanya,” ujarnya kepada Stailo.
Rushai Leather merupakan butik barangan kulit yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan kulit berkualiti tinggi seperti tali jam tangan, dompet, beg tangan lelaki dan perempuan, tali pinggang, kasut, topi sehinggalah jaket.
Butik itu terletak di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Rangkaian produk yang didatangkan dalam pelbagai warna dan ukuran, menjadikan produknya setanding dengan produk kulit dari luar negara.
Ujar Kamal, selepas menghasilkan begitu banyak produk kulit, dia mendapati bahawa aksesori paling disukainya adalah beg tangan untuk perempuan.
“Barangan kulit yang saya suka hasilkan adalah beg tangan perempuan kerana bagi saya, rekaan untuk beg tangan perempuan ini banyak bermain dengan pelbagai bentuk atau lenggok.
“Keanggunan beg tangan yang diperbuat daripada bahan kulit juga menjadikan produk ini sangat menarik pada saya,” katanya.
Melihat hasil kerja Kamal yang penuh teliti dan kemas, lelaki berusia 52 tahun itu berkata elemen itu adalah penting dalam mendapatkan produk yang berkualiti dan tahan lama.
“Kerja-kerja membuat produk kulit ini memerlukan ketelitian bagi mendapatkan hasil yang kemas dan sempurna.
“Bagi saya, ini merupakan satu cabaran buat penghasil produk kulit seperti saya kerana bahagian kulit yang berlipat perlu dinipiskan terlebih dahulu.
“Jika dahulu, proses ini dilakukan secara manual iaitu saya akan mengikis bahagian kulit dengan menggunakan pisau, namun kini ia dibuat dengan menggunakan mesin skiving yang lebih memudahkan kerja,” ujarnya.
Sebagai ‘orang lama’ dalam industri penghasilan kulit, Kamal turut berkongsi produk kulit yang wajib dimiliki oleh setiap lelaki bagi menyerlah gaya harian mereka.
“Setiap lelaki wajib mempunyai aksesori kulit berupa wallet, beg galas, beg pouch, kasut dan juga tali pinggang yang boleh digayakan untuk ke mana sahaja.
“Bagi saya, seleksi aksesori ini menyerlahkan karakter seseorang lelaki iaitu kuat, lasak dan ranggi,” katanya.
Bagi memastikan produk kulit mampu bertahan lama, Kamal juga mengesyorkan agar ia dijaga dengan betul.
Ujarnya, setiap tiga bulan, gunakan kain lembap suam dan sapukan ia pada bahagian kulit untuk mengembalikan rongga-rongga kulit yang sudah ditutupi dengan kotoran.
“Kemudian, boleh sapukan cecair seperti krim khas untuk kulit atau pun barangan yang sedia ada di rumah seperti minyak kelapa dara, minyak rambut, losen badan mahupun pomade,” katanya.