PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi penambahbaikan fasiliti keselamatan di negeri-negeri sempadan iaitu di Kedah, Kelantan dan Perlis.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengarahkan agar proses pengurusan dan kewangan kerajaan yang terbabit dalam usaha penambahbaikan ini dipercepatkan.
Jelasnya, peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan terdahulu berjumlah RM1 bilion yang diumumkan sebelum ini untuk menaik taraf prasarana di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak.
Katanya, ini bagi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan bersempadan dengan Nusantara, iaitu bakal ibu kota Indonesia yang baharu di Kalimantan.
“Saya minta laporan dalam mesyurat hari Khamis ini mungkin dapat laporan terkini supaya dapat berikan tumpuan agar jangan dilengahkan program tindakan (kemudahan sempadan).
“Saya ucap terima kasih kerana beberapa langkah diambil bersama kerajaan negeri supaya dipercepat kemudahan-kemudahan di sempadan,” katanya ketika berucap pada majils perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.
Anwar turut memaklumkan, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin pada 3 Ogos ini di Sungai Golok dan Rantau Panjang bagi bicara soal keselamatan sempadan dan merancakkan petumbuhan ekonomi di utara Semenanjung dan Selatan Thailand.
“Saya menegaskan, negara yang kuat dan kukuh tentunya dengan perpaduan dan kekuatan ekonomi tetapi negara yang utuh dan selamat itu adalah juga dengan keselamatan negara terjamin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE