KUALA SELANGOR – Suasana di sebuah stesen minyak di Sungai Burong, Tanjong Karang di sini, gempar apabila restoran kopi terkemuka di premis itu dilanggar kenderaan, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu melibatkan sebuah Perodua Kancil dan Honda City.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 66 tahun yang juga pekebun baru selesai mengisi minyak di premis tersebut.
Katanya, pemandu itu kemudian menghidupkan enjin dan secara tidak sengaja tertekan pedal minyak lalu melanggar sebuah kereta di hadapannya.
“Ketika kejadian, kereta Honda milik seorang pekerja wanita restoran kopi itu berada di petak parkir.
“Ia menyebabkan kereta itu menggelungsur ke depan dan melanggar pintu cermin restoran sehingga pecah,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohd. Ambia, pemandu Kancil itu bagaimanapun tidak mengalami kecederan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. – KOSMO!ONLINE