KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan lelaki warga Israel Avitan Shalom bagi mengkaji dua pertuduhan yang dihadapi berkaitan senjata api dan peluru.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Mustafa pihak pembelaan Avitan telah menghantar representasi itu pada 8 Julai lalu.
Berikutan representasi ditolak, pihak pendakwaan kemudian mencadangkan supaya tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini diteruskan.
“Saya mencadangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan dalam prosiding lalu dikekalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Mustafa turut memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pengurusan kes sebelum perbicaraan bermula.
Ini kerana terdapat dua lagi dokumen belum diserahkan kepada pembelaan iaitu laporan televisyen litar tertutup (CCTV) dan analisis laporan forensik.
Terdahulu, salah seorang peguam Datuk Naran Singh yang sebelum ini mewakili Avitan memaklumkan beliau menarik diri daripada mewakili tertuduh.
Namun peguam terbabit tidak memberikan sebarang alasan spesifik kecuali menyatakan `menarik diri atas alasan peribadi’.
Semasa prosiding, Avitan diwakili seorang lagi peguam Jeffrey Ooi.
Sebelum ini mahkamah telah menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini bagi perbicaraan kes itu.
Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.
Sebelum ini Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE