MUAR – Bapa pelajar Tingkatan 2, Muhammad Effzaldanish Mohd. Effendy, 14, yang dilaporkan hilang sejak kelmarin berharap anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga dengan segera dan dalam keadaan selamat.
Menurut Mohd. Effendy, nenek Effzaldanish, Jaminah Shari, 90, sangat terkesan dengan kehilangannya apabila bersedih sehingga hilang selera makan.
“Saya cari dia di sekitar Pagoh di kawasan ladang kelapa sawit hingga ke Bukit Kepong. Saya juga beritahu orang ramai yang saya temui jika nampak Effzaldanish mohon laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujarnya, kali terakhir dia bertemu mangsa pada bulan lalu dan memaklumkan Effzaldanish merupakan seorang yang tidak banyak bercakap serta tidak mempunyai ramai kawan.
“Dia tidak menampakkan tindak-tanduk pelik atau mencurigakan. Saya bertanya khabar seperti biasa dan dia menjawab semuanya baik-baik sahaja, tiada masalah dengan kawan atau di sekolah.
“Effzaldanish tinggal bersama neneknya sejak dia berusia tiga tahun selepas ibunya meninggal dunia kerana sakit kanser payudara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, perkembangan kes ini masih lagi sedang berjalan.
Kelmarin, kali terakhir Effzaldanish dilihat adalah menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh pada pukul 7.10 pagi.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat lokasi pelajar tersebut boleh terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor P. Seventy di talian 011-1625 1909, Hotline IPD Muar 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE