fbpx

Projek jalan perhubungan orang asli di Gua Musang perlu dipercepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid menaiki jengkaut semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Membina Dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa Di Kuala Betis di Dataran RPS Kuala Betis, Gua Musang, hari ini.

GUA MUSANG – Projek pembinaan jalan perhubungan penempatan masyarakat orang asli di kawasan Kuala Betis, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Hau di sini perlu dipercepatkan dengan kadar segera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut perancangan, kerja-kerja pembinaan itu mengambil masa 48 bulan.

Bagaimanapun menurutnya, beliau sudah mengarahkan Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) agar kontraktor yang dilantik mempercepatkan projek tersebut.

“Pembinaan jalan itu merupakan salah satu langkah untuk menoktahkan kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat orang asli di kawasan pedalaman Gua Musang.

“Projek sejauh 94 kilometer itu akan memberi manfaat kepada 7,147 masyarakat orang asli suku kaum Temiar di 68 buah kampung dengan peruntukan berjumlah RM190 juta,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Membina Dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa Di Kuala Betis di Dataran Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, penduduk di kawasan Kuala Betis ketika ini melalui jalan tanah untuk keluar ke bandar untuk tujuan kegiatan ekonomi mereka.

Menurutnya, sehubungan itu, projek pembinaan jalan perhubungan tersebut merupakan usaha untuk memastikan urusan harian masyarakat di pedalaman lancar selain memberikan jaringan perhubungan yang lebih baik.

“Selain itu, kerajaan juga meluluskan projek menggantikan Jambatan Batu 6 di Nenggiri yang bernilai RM11 juta.

“Jambatan sepanjang 135 meter itu dilengkapi dengan pemasangan lampu jalan jenis solar diod pemancar cahaya (LED) dan pembinaannya bermula sejajar dengan projek jalan perhubungan di Kuala Betis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI