KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tangkapan dua rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Maldives ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sedang menunggu butiran kes tangkapan itu dari pihak berkuasa negara tersebut.
“Kita sudah berhubung dengan pihak berkuasa Maldives dan pihaknya mengesahkan terdapat dua tangkapan terbabit seperti mana dalam media.
“Maklumat serta butiran kes akan disalurkan secepat mungkin oleh pihak berkuasa Maldives kepada JSJN,” katanya ketika dihubung, hari ini.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, siasatan tetap dilakukan pihak berkuasa Maldives berikutan tangkapan berlaku di sana.
“JSJN akan membantu sekiranya diminta bantuan,” katanya.
Semalam, media melaporkan dua warga Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke Maldives.
Memetik agensi, polis Maldives dilaporkan berkata, pegawai Kastam negara itu menemukan 15 kilogram (kg) ganja di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan Emirates EK656 dari Dubai pada pagi, Sabtu lalu.
Superintenden polis Mohamed Afzal dilaporkan berkata, ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.
“Berikutan penemuan ini, Bahagian Penguatkuasaan Dadah kami memulakan operasi penghantaran terkawal. Operasi ini membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, seorang lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun, pada malam 28 Julai.
“Siasatan kami sedang berjalan, dan kami bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasa undang-undang antarabangsa untuk mengumpul maklumat tambahan,” lapor agensi.
Siasatan menunjukkan kemungkinan kaitan suspek dengan individu dari empat negara berbeza yang merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa.
Rampasan ganja itu adalah yang terbesar di Maldives tahun ini. – KOSMO! ONLINE.