KUALA SELANGOR – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan usaha mengeratkan hubungan dengan komuniti dan mempromosikan projek hartanahnya menerusi program Pilih Karnival yang diadakan di Galeri Jualan Hartanah Kota Puteri dekat sini baru-baru ini.
Penganjuran program Pilih Karnival itu telah dijenamakan semula dan ia adalah kesinambungan daripada acara Discover PKNS yang dianjurkan tahun lalu setelah acara tersebut memberi impak positif kepada jenama dan perbandarannya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan semasa majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS, Ir. Md. Kamarzan Md. Rai itu, selain pameran projek hartanah ia padat dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga, tetapi termasuk acara sukan rakyat.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan permainan tradisional seperti pertunjukan layang-layang, tarik tali, tiang licin dan pukul bantal bertujuan untuk mengimbau kenangan masa lalu di kampung dan juga mengetengah permainan tersebut kepada generasi muda.
Kenyataan itu menjelaskan, penganjuran karnival yang dijalankan secara berterusan sehingga bulan September ini diharapkan agar dapat meningkatkan kesedaran dan jualan hartanah PKNS seiring perancangan pembangunan yang akan digerakkan bernilai lebih RM1 bilion tahun ini.
Pilih Karnival akan diadakan di Antara Gapi pada 24 dan 25 Ogos ini sebelum berakhir di Selangor Cyber Valley pada 28 dan 29 September nanti.
Selain itu, PKNS turut menawarkan baucar barangan elektrik bernilai RM2,000 kepada 10 pembeli projek kediaman Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2, Kota Puteri yang membuat tempahan.
Kedua-dua projek perumahan yang telah dilancarkan sejak tahun lalu itu dijual pada harga bermula RM590,000. -KOSMO! ONLINE