KUALA LUMPUR – Perairan Malaysia perlu menjadi kawasan perdagangan yang sentiasa mengalu-alukan semua industri maritim di seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dahulu Melaka muncul sebagai Pelabuhan maritim utama di rantau ini dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Katanya, sudah tiba masanya untuk kita menyokong industri ini supaya muncul sebagai kuasa besar dalam perniagaan maritim dan menjadi lebih berdaya tahan.
“Kita terbuka kepada mana-mana negara yang mahu berdagang dengan Malaysia.
“Sehubungan itu, kita perlu berusaha untuk meningkatkan perdagangan dari luar dan perairan Malaysia harus kekal sebagai lokasi tumpuannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Malaysia Maritime Week 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Katanya, dalam pertemuannya bersama Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, Malaysia sudah menyatakan minat untuk menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), sebagai menzahirkan komitmen negara ini mahu menjadikan perairannya sebagai laluan penting kepada perdagangan dari barat dan timur.
Anwar berkata, kerajaan bersama pemain industri maritim perlu mengukuh kerjasama dan komitmennya dalam meningkatkan keupayaan serta fasiliti pelabuhan negara.
“Pada ketika ini 80 hingga 90 peratus eksport Malaysia dipacu menerusi pengangkutan laut atau maritim, sekali gus menunjukkan industri ini cukup penting dan berdaya saing.
“Kita berbangga untuk mengatakan bahawa pelabuhan seperti Pelabuhan Klang, PTP (Palabuhan Tanjung Pelepas) dan (pelabuhan di) Pulau Pinang antara yang muncul sebagai pelabuhan paling berdaya saing,” katanya.
Jelas Anwar, dengan sokongan industri ini membolehkan kita bukan sahaja berada di kedudukan 20 teratas terbaik dunia tetapi tidak mustahil boleh mencapai tempat ke-10 teratas kerana mempunyai potensi yang sangat baik.
Oleh itu, Anwar berkata, hasrat tersebut hanya boleh dicapai dengan kerjasama padu daripada kerajaan dan pemain industri dengan memberikan komitmen dalam meningkatkan keupayaan dan fasiliti pelabuhan negara.
“Sebagai negara maritim, Malaysia wajar berasa bimbang kerana perkembangan industri tersebut pada ketika ini tidak setimpal dengan kekuatan asas yang ada, termasuk legasi sejarahnya sejak dulu.
“Oleh itu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan perlu menyelaras dan memberi apa sahaja sokongan serta bantuan untuk menguatkan industri maritim di negara kita.- KOSMO! ONLINE