KUALA LUMPUR – Pengisytiharan Kampung Pulau sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau Ke-22 pada 4 Julai lalu didakwa tidak dilaksanakan berlandaskan aturan adat Rembau.
Buapak Kampung Tanjung, Datuk Kaya Maharaja Hassan Ab. Hamid berkata, Kampung Tanjung sepatutnya diisytiharkan sebagai lubuk benih pesaka Undang Luak Rembau Ke-22 kerana mendapat majoriti undi dalam dua istiadat pemilihan.
“Pada 24 Jun 2024, dalam istiadat kerapatan, majoriti Buapak bersetuju giliran menyandang pusaka Undang Luak Rembau yang ke-22 adalah kepada Kampung Tanjung.
“Namun, Datuk Perba tidak bersetuju dan mengarahkan istiadat kerapatan kedua yang tetap mengekalkan keputusan pemilihan Kampung Tanjung.
“Dalam kerapatan Lembaga pada 4 Julai 2024, Datuk Perba membatalkan keputusan kedua-dua kerapatan dan mengisytiharkan Kampung Pulau sebagai kampung benih, bertentangan dengan aturan adat Rembau,” dakwanya pada satu sidang media di ibu negara hari ini.
Hassan seterusnya mendakwa, tatacara pemilihan baharu benih undang juga meragukan kerana dokumen disediakan tanpa perbincangan dengan Buapak dan lbu Soko Biduanda Waris yang Dua Carak.
Kata beliau, dokuman tersebut juga tiada cop mohor dan tandatangan rasmi Allahyarham Datuk Undang Rembau ke-21 dan ketidakselarian tandatangan Allahyarham.
Selain itu, kata beliau, terdapat kesalahan fatal dalam susun atur kampung dalam lampiran serta ketiadaan kelulusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU)
“Tiada tarikh pada dokumen dan tandatangan. Ketiadaan tandatangan pada struktur organisasi pentadbiran dan lampiran. Lampiran yang dilampirkan tiada tandatangan.
“Kampung Tanjung yang sepatutnya menerima giliran untuk menyandang pusaka Undang ke-22 dinafikan haknya. Anak buah Kampung Tanjung bersatu mempertahankan hak dan keadilan Kampung Tanjung,” katanya.
Tambah beliau, perkara tersebut telah dikemukakan kepada DKU dan pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan melalui penyerahan memorandum.
Ujar beliau, tindakan itu juga untuk memastikan aturan adat dan tradisi Rembau yang telah diwarisi sejak turun-temurun terus dihormati dan dipertahankan.
“Insiden kejadian serangan tumbukan di Balai YTM Undang semasa istiadat Lembaga bagi memasyhurkan keputusan pemilihan lubuk benih pada 4 Julai 2024 patut dijadikan iktibar oleh semua pihak.
“Ini menunjukkan betapa perlunya isu-isu ini diselesaikan dengan berhemah untuk melihat aturan adat perpatih dipelihara dan dijaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE