GOMBAK – Seorang pemandu lori dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 44, Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan insiden tersebut sekitar pukul 6.02 pagi.
Jelas beliau, seramai tujuh anggota lain-lain pangkat serta dua buah jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan lori kontena, treler dan kereta jenis Perodua Persona.
“Terdapat tiga orang mangsa yang terlibat. Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah tersepit di dalam lori dan disahkan meninggal dunia oleh pihak petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mukhlis berkata, mangsa berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba pada pukul 6.51 pagi.
“Dua lagi mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai. Kedua-duanya mereka hanya mengalami cedera ringan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.