PETALING JAYA – Seorang pegawai dan kakitangan orang kelainan upaya (OKU) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2023 Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sebagai pengiktirafan di atas sumbangan yang diberikan.
Kesuma dalam kenyataan berkata, penghargaan itu merupakan komitmen berterusan kementerian tersebut terhadap sumbangan OKU dalam perkhidmatan awam.
Menurutnya, ia selari dengan aspirasi dasar satu peratus berhubung peluang pekerjaan untuk golongan OKU dalam perkhidmatan awam.
Dua penerima APC itu adalah Pegawai Khidmat Pelanggan, Gred N19, Mohd. Fikri Ismail dan Pembantu Tadbir Gred N19, Mohd. Faiez Mohd. Fauzi.
“Mohd. Fikri dan Mohd. Faiez telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam membantu orang awam di Kesuma sama ada di kaunter hadapan atau melalui panggilan telefon.
“Kekurangan dialami kedua-dua pegawai ini tidak melemahkan mereka untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang,” katanya hari ini.
Majlis APC 2023 disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melibatkan seramai 545 warga kerja Kesuma yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick, Sepang.
Sementara itu, Steven Sim dalam ucapannya menyeru agara prestasi cemerlang yang dipamerkan dapat diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya.
“Majlis seumpama ini adalah pemangkin kepada semua warga Kesmua untuk terus menyumbang kepada pelaksanaan misi strategi 3K iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan kekerja dalam mendepani cabaran masa depan dan merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Justeru, Steven Sim berharap agar penghargaan yang diberikan kepada semua penerima APC 2023 dijadikan sebagai penyuntik semangat untuk sentiasa memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik. – KOSMO! ONLINE