fbpx

Operasi jet di LTSAAS kembali Khamis ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (tengah) pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan sebelum permulaan operasi jet di LTSAAS, di sini hari ini.

SUBANG – Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) telah bersedia untuk memulakan semula operasi kapal terbang jet pada Khamis ini selepas 22 tahun, apabila semua operasi jet dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2002.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, fasa operasi interim jet (IJO) di LTSAAS, yang bermula 1 Ogos 2024 telah meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang berkenaan daripada 1.5 juta penumpang kepada tiga juta setahun, sambil memperkenalkan operasi pesawat jet berbadan sempit seperti Boeing 737 dan Airbus A320.

“Kerja pembinaan untuk IJO telah bermula pada Disember 2023 sebelum siap pada 30 Jun 2024, dan hari ini LTSAAS telah bersedia untuk memulakan semula operasi untuk pesawat jet.  

“Operasi jet di LTSAAS dihadkan kepada hanya satu penerbangan untuk setiap jam disebabkan kapasiti terminal yang terhad, dengan tempoh operasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam memandangkan kawasan ini turut dikelilingi penempatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan sebelum permulaan operasi jet di LTSAAS, di sini hari ini.

Menurut Anthony, fasa IJO LTSAAS bermula dengan sembilan penerbangan sehari daripada syarikat penerbangan Firefly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, Transnusa dan Scoot.

“Batik Air Malaysia akan mengoperasikan penerbangan tiga kali seminggu ke Pulau Pinang menggunakan Boeing 737 bermula 1 Ogos ini, sebelum kekerapannya ditambah kepada tujuh kali seminggu bermula 15 Ogos, sementara Transnusa menerbangkan Airbus A320 tujuh kali seminggu dari Jakarta Soekarno-Hatta bermula 1 Ogos.

“Firefly pula menyediakan perkhidmatan Boeing 737 tujuh kali seminggu ke Kota Kinabalu dan Pulau Pinang bermula 29 Ogos; AirAsia Malaysia mengoperasikan 14 kali seminggu Airbus A320 ke Kota Kinabalu dan Kuching bermula 30 Ogos; manakala Scoot menyediakan penerbangan tujuh kali seminggu menggunakan Airbus A32o bermula 1 September.

“Ditambah penerbangan ATR Firefly sedia ada sebanyak 266 kali seminggu ke Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Seletar, Singapura, ketersambungan dan rangkaian LTSAAS akan bertambah kepada penerbangan terus ke lapan destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, penerbangan jet pertama di LTSAAS dijadualkan pada pukul 12 tengahari oleh Batik Air ke Pulau Pinang, sebelum ketibaan pesawat Transnusa dari Jakarta pada pukul dua petang hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI