KUALA LUMPUR – Perjalanan pemanah recurve wanita negara, Syaqiera Mashayikh di Sukan Olimpik Paris 2024 terhenti apabila tewas ditangan lawan dari Brazil, Ana Luiza Sliachticas Caetano menerusi penentuan ‘shoot-off’ di pusingan 1/16, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Invalides itu, kedua-dua pemanah tersebut menampilkan persembahan yang cukup baik apabila mencatat keputusan seri dalam dua set permainan awal dengan keputusan 27-27, 28-28.
Dalam aksi yang mendebarkan tersebut, Syaqiera berjaya menampilkan aksi cemerlang pada set ketiga apabila mengatasi lawan berusia 21 tahun tersebut menerusi keputusan 28-24 untuk mendahului aksi tersebut 3-2.
Cubaan Syaqiera untuk mendapat kemenangan mudah tidak tercapai apabila gagal mengekalkan panahan terbaik pada set keempat apabila lawannya itu bangkit menyamakan kedudukan 4-4 selepas terikat 27-27.
Di set kelima, prestasi Syaqiera mula tidak konsisten apabila panahannya itu sedikit tersasar dengan 8 mata sebelum tewas 24-29, sekali gus diheret ke aksi penentuan ‘shoot-off’ bagi menentukan pemenang.
Impian Syaqiera untuk melangkah lebih jauh pada penampilan keduanya di Sukan Olimpik nyata tidak memihak kepadanya selepas hanya mampu meraih 8 mata sementara lawannya meraih 9 mata di pusingan ‘shoot-off’ untuk melangkah ke pusingan 1/8 terbaik.
Sebelum itu, Syaqiera mara ke pusingan 1/32 terbaik selepas melepasi halangan pemanah Moldova, Alexandra Mirca dengan kemenangan 6-0, 30-27, 27-23, 26-24. -KOSMO! ONLINE