BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah enggan terlalu gembira dengan kemenangan ke atas pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara kelmarin kerana mereka mempunyai satu lagi misi penting pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk meloloskan diri ke pentas suku akhir.
Pearly menjelaskan, mereka berdua hanya ingin kekal tenang pada aksi terakhir Kumpulan A sewaktu menentang pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti di Porte de La Chapelle Arena nanti.
“Saya sangat gembira kerana kami berjaya mencipta kemenangan pertama di pentas besar seperti ini. Tetapi perlu ingat, kami masih ada satu lagi perlawanan, jadi kami masih mahu kekal tenang dan fokus pada perlawanan seterusnya.
“Perkara paling penting ialah kami sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain. Ia merupakan perkara yang paling penting. Apabila seorang mula tertekan maka seorang lagi perlu memberi sokongan.
“Saya rasa ini benar-benar membantu kami dalam permainan. Saya rasa ini adalah perkara utama yang kami bawa dari semalam,” katanya.
Pearly turut mengakui kekalahan mereka pada aksi pertama menentang pasangan China adalah kerana tergesa-gesa untuk menamatkan permainan sekali gus memberi satu pengajaran bermakna kepada mereka bermain dengan lebih tenang.
“Saya rasa perkara utama adalah kesabaran. Kalau lihat perlawanan semalam (Sabtu) ketika mendahului, kami mahukan mata mudah dan cepat jarakkan kedudukan. Tetapi, itu sebenarnya menjadikan keadaan lebih teruk,” ujar Pearly.
Di atas kertas, gandingan negara itu dijangka berdepan tentangan sengit ketika bertemu pasangan Indonesia yang berada di ranking kesembilan dunia petang ini dengan rekod enam pertemuan yang seimbang.