JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi sudah tidak sabar untuk berlumba di atas trek berwajah baharu berwarna ungu di venue ikonik Stade de France dalam acara 100 meter (m) pada Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Sabtu ini.
Azeem membawa imej lebih segar dengan penampilan rambut baharu untuk berentap dengan jaguh-jaguh dunia di atas permukaan balapan unik itu yang dibina oleh syarikat berpangkalan di Itali iaitu Mondo untuk memberi pecutan bertenaga kepada atlet.
Pelari berusia 20 tahun itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard malam kelmarin mengakui dirinya dalam keadaan bersedia untuk memberikan sehabis baik.
Katanya, ibu dan bapanya hanya sempat menghantar setakat di KLIA dan dia akan membawa semangat keluarga serta rakan-rakan mahupun peminat sukan tanah air untuk memberikan sehabis baik di ‘kota cinta’ Paris tersebut.
“Saya tidak menjangkakan apa-apa. Apa yang saya buat ini (imej baharu) untuk membina keyakinan dalam diri sendiri. Saya cuba beri persembahan terbaik yang orang nak lihat saya pamerkan. Saya rasa ini yang terbaik untuk saya.
“Saya sudah lama tidak potong rambut dengan betul. Hampir tiga tahun saya tidak menjaga imej penampilan. Saya rasa lebih segar daripada sebelum ini. Jika saya dapat membuat catatan masa yang bagus, mungkin saya akan kekal dengan imej ini,” katanya.
Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09 saat (s) itu berpegang teguh kepada pesanan ahli keluarganya supaya tidak meletakkan tekanan yang tinggi ketika saingan bermula.
“Keluarga saya sentiasa ada memberi sokongan dan nasihat setiap kali kejohanan, namun Olimpik merupakan pertandingan tertinggi dan ia memberi suasana berbeza buat saya.
“Ahli keluarga saya memberi pesan untuk buat terbaik kerana mereka lebih tahu saya boleh lari sebaiknya jika kekal tenang dan tidak terlalu meletakkan tekanan yang tinggi,” katanya.