PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan MAPO Integrated Data System (MIDS) iaitu sistem pengurusan data cekap berkaitan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang berlaku di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, MIDS berfungsi menyelaras, mengumpul, dan memusatkan data berkaitan jenayah berkenaan yang dilaporkan di negara ini.
“Dengan MIDS, data dari pelbagai sumber boleh diintegrasikan dan dianalisis secara menyeluruh untuk memberikan gambaran yang lebih holistik dan seterusnya membantu dalam membuat keputusan yang lebih tepat dan berinformasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), di sini hari ini.
Katanya, pelancaran MIDS itu adalah sebahagian usaha Malaysia untik mencapai penarafan Tahap 1 (Tier 1) pada tahun hadapan dalam senarai pemerhatian pemerdagangan manusia. – KOSMO! ONLINE