PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial yang juga doktor perubatan, Dr. Muhammad Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr. Say Shazril berdepan detik cemas apabila dua pembantu rumahnya tergamak membawa masuk dua lelaki sewaktu beliau dan isteri berada di rumah, malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 9.25 malam diceritakan oleh Dr. Say Shazril pada Instagramnya malam tadi, malah beliau turut berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) selain memuat video terbaharu pagi ini.
“Maid saya dua orang bawa lelaki masuk rumah masa saya dengan bini ada kat atas pukul 9.25 malam. Saya dengan bini dalam rumah boleh bawa masuk dua lelaki kat dalam.
“Laki tu masih ada kat bawah. Jadi sekarang saya tengah fikir jap sama ada nak call polis atau macam mana sebab baby ada pada dia orang,” katanya pada salah satu video berhubung perancangannya malam tadi.
Dalam masa sama, Dr. Say Shazril turut berkongsi rakaman CCTV yang mana kamera tersebut diletakkan di ruang tamu, namun salah seorang pembantu rumahnya telah mengalihkan kedudukan alat tersebut.
“Saya baru lepas call polis nak panggil dia orang. Cuma sekarang ni jadi susah sebab baby ada dengan dia orang malam ni. Saya tak boleh urus tiga orang.
“Sekarang sama ada panggil polis atau serbu dia orang sekali, yang mana bahaya untuk baby. Rancangan saya panggil pembantu rumah hantar baby ke atas, lepas tu polis sedia kat luar untuk masuk serbu, tapi ada kemungkinan juga mereka keluar ikut pintu belakang,” katanya.
Seterusnya, beliau memuat naik video tiga anggota polis datang ke rumahnya untuk membuat serbuan.
“Saya call maid untuk hantar baby, nak tipu letak ubat krim, tapi tak angkat telefon. Tak tahu lelaki tu ada lagi ke tak. Terpaksa serbu terus, hantar baby naik dulu, lepas tu polis serbu.
“Tapi dah tak jadi, ni serbu je lah terus. Tak tahu ada lagi ke tak,” ceritanya.
Kemudian, beliau berkongsi video polis mengetuk pintu bilik pembantu rumahnya.
Dr. Say Shazril memaklumkan telah menghubungi agensi terlibat supaya mengambil kedua-dua pembantu rumah tersebut, malah beliau juga akan memuat naik video terbaharu hari ini bagi menceritakan keseluruhan kejadian yang berlaku malam tadi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang mengambil tindakan pantas terhadap kejadian itu. – KOSMO! ONLINE