TERENGGANU FC (TFC) berazam bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat lalu dengan menjadikan Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai ‘lauk’ pada aksi Liga Super malam ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, perlawanan dengan NSFC penting untuk meningkatkan semula motivasi anak-anak buahnya menjelang aksi separuh kedua Piala FA minggu depan.
“Kemenangan dengan Negeri Sembilan bagaikan misi serampang dua mata untuk baiki kedudukan dalam liga dan menaikkan moral sebelum aksi getir separuh akhir kedua Piala FA.
“Kelebihan beraksi di laman sendiri malam esok (malam ini) perlu dimanfaatkan untuk mengutip tiga mata penuh,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Atas kertas, TFC dilihat memiliki kelebihan dan dijangka tidak berdepan masalah melayan kunjungan skuad Hoben Jang Hoben yang kini berada di tangga tercorot Liga Super.
Steinbruckner berkata, skuad Sang Penyu bakal diperkuat semula dengan kehadiran kapten, Safawi Rasid dan pemain sayap, Akhyar Rashid yang bakal memberi kelebihan buat TFC.
Begitupun jurulatih kelahiran Croatia itu mengakui barisan pertahanannya sedikit goyah berikutan penggantungan Ubaidullah Shamsul Fazili dan kecederaan Safwan Mazlan.
“Selain itu, penyerang, Ismaheel Akinade turut mengalami masalah kecederaan ringan pada aksi dengan JDT pada Jumaat lalu. Sehubungan itu, saya akan melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama pada aksi dengan Negeri Sembilan,” katanya.