fbpx

Khazanah selesai proses ambil alih Mavcap, Penjana Kapital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional (Khazanah) telah menyelesaikan pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management (Mavcap) dan Penjana Kapital (PK) sekali gus menjadikan kedua-dua entiti tersebut sebagai anak syarikatnya.

Pengambilalihan ini dijangka meningkatkan koordinasi dan pemusatan sumber kerajaan, memudahkan usaha untuk memajukan ekosistem syarikat pemula serta memperkukuhkan daya saing ekosistem syarikat pemula pada peringkat serantau.

Susulan pengambilalihan ini, akan diikuti dengan penubuhan sebuah National Fund-of-Funds (NFOF) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk dilabur dalam syarikat pemula yang berinovatif dan mempunyai pertumbuhan tinggi melalui dana VC dan ekuiti persendirian (PE).

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, integrasi Mavcap dan PK memberi peluang kepada NFOF untuk meneruskan usaha membangunkan ekosistem melalui asas-asas kukuh dan telah dibina oleh kedua-dua entiti di samping melaksanakan inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuhkan lagi ekosistem VC Malaysia.

“Dengan memusatkan dan mengukuhkan platform pelaburan merentasi pelbagai agensi pelaburan, Malaysia akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memastikan kemampanan pembiayaan, menarik modal swasta, menarik firma VC serantau ke negara ini dan merangsang sektor-sektor strategik negara.

“Dalam masa yang sama, penubuhan NFOF ini selari dengan inisiatif Future Malaysia Programme Khazanah yang bertujuan untuk menyokong ekosistem usahawan syarikat pemula tempatan, syarikat pemula, VC dan program modal teroka korporat melalui kerjasama dengan rakan-rakan domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Amirul Feisal menerangkan, pihaknya yakin bahawa pengalaman dan sumber kolektif daripada Mavcap dan PK akan dapat meningkatkan akses kepada modal bagi syarikat pemula, memacu inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi. 

“Kami mengiktiraf sumbangan dan komitmen Mavcap dan PK. Visi dan dedikasi mereka terhadap ekosistem VC selama ini sangat berharga dan kami berharap dapat  menggabungkan kekuatan serta pengalaman mereka untuk mencapai visi bersama Memajukan Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI