PETALING JAYA – Seorang alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memaklumkan bahawa tiada penuntut yang mengetahui tentang tragedi berdarah yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Menerusi perkongsian @haiyakasim di Twitter, dia berkata, perkara itu telah disembunyikan oleh pelaku dengan begitu rapi.
“Tiada seorang pun di antara kami yang benar-benar tahu apa yang berlaku. ‘Secret kept at its best’ (rahsia disimpan sebaik mungkin). Mereka (pelaku) semua senior daripada batalion lain.
“Masa bulan Ramadan, malam itu batalion saya tengah moreh makan piza dekat mes kadet dengan ‘oc’ (pegawai bertugas), tiba-tiba datang ‘kakitangan bertugas’ bisik dekat pegawai ‘mati…..’. Itu sahaja yang saya dengar,” katanya.
Hantaran itu dibuat alumni tersebut bagi mengulas pertanyaan segelintir pengguna media sosial yang mempersoalkan mengapa tiada penuntut UPNM yang bertindak menyelamatkan arwah.
Mengulas lanjut, katanya, dia rakan-rakan masih tidak mengetahui apa yang berlaku dari malam berkenaan sehingga waktu sahur keesokan harinya.
“Dalam pukul 3 hingga 4 pagi, banyak lampu merah dan biru konvoi datang. Kami pun terkejut. Kemudian baru kami nampak enam tertuduh dan berbelas orang dipanggil naik ke blok,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, pemerintah tentera telah mengambil inisiatif untuk memecahkan empat batalion kepada lapan kompeni.
“Kakitangan bertugas akan buat rondaan setiap aras pada setiap malam. Kali terakhir saya tahu, junior dan senior juga dipisahkan mengikut blok,” tambahnya.
Untuk rekod, Allahyarham Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 selepas mengalami kecederaan akibat dipukul dan ditekap menggunakan seterika wap.
Pada 23 Julai lalu, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 23 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE