PUTRAJAYA – Perdana Menteri, menegaskan sebarang perolehan aset keselamatan negara harus dilakukan mengikut kaedah betul dan tidak melibatkan keuntungan peribadi atau ejen dalam serta luar negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun matlamatnya adalah untuk mempertahankan negara, tetapi harus dipastikan ketirisan tidak berlaku setelah jumlah peruntukan besar diberikan setiap tahun.
Katanya, walaupun dipersetujui peruntukan tambahan diberikan dalam aspek keselamatan negara, namun kaedah pembelian berkenaan menyebabkan terlalu banyak berlaku ketirisan dan ia mesti dihentikan.
“Saya agak keras tentang ini, tidak disenangi banyak pihak tapi tidak ada pilihan. Kalau kita mahu benar percaya pertahankan keselamatan negara, maka dari awal di semua peringkat termasuk perolehan (perlu dibuat teratur).
“Kalau tidak lihat nasib kapal perang kita, nasib pesawat kita dan bandingkan dengan jumlah peruntukan besar diberikan setiap tahun.
“Sebab itu saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kembali kepada landasan memastikan bahawa perolehan itu mesti mengikut kaedah peraturan betul dan tidak kepentingan ejen-ejen dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap merasmikan bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak memandang ringan berhubung soal keselamatan kerana ada usaha berterusan untuk menganggu-gugat keamanan negara, sama ada dari dalam dan luar negara.
Anwar berkata, soal keselamatan negara adalah ditentukan rakyat sendiri dan ia tidak boleh menumpang belas kasihan sesiapa.
“Saya bukan maksud nak menakutkan, tapi saya bimbang kerana ada orang anggap selesa. Apa nak bimbang, negara aman, makan cukup, negeri sedang mencatatkan kadar pertumbuhan membanggakan, kadar pengangguran menurun, pelaburan meningkat.
“Benar dan kita harus beri tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi tanpa meringankan keutamaan keselamatan dan tanpa mengenepikan aspek-aspek penting termasuk nilai, cara kita urus negara dan tatakelola termasuk dalam pasukan keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE