fbpx

Ibu buntu anak perempuan sertai kumpulan gengster ’24 Gang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheo (dua dari kanan) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat berhubung kegiatan anaknya menyertai kumpulan gengster.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita buntu apabila anak perempuannya menyertai kumpulan gengster dikenali sebagai ’24 Gang’.

Menurut wanita terbabit yang dikenali sebagai Cheo, 39, anak perempuannya yang berusia 17 tahun itu telah berpindah ke Kuala Lumpur pada Mac lalu iaitu sebaik sahaja tamat Tingkatan 5.

Katanya, anaknya yang dikenali sebagai Lam itu memaklumkan dia telah mendapatkan pekerjaan di sebuah kedai aksesori telefon di Cheras.

“Bagaimanapun pada Jun, dia telah mendaftar masuk kursus kecantikan selama dua tahun yang bermula pada hujung bulan itu.

“Tidak lama kemudian pentadbir kursus memaklumkan dia hanya hadir kelas pada dua minggu pertama sahaja sebelum tidak hadir secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Cheo berkata, Lam juga tidak lagi menjawab panggilan telefon dari ahli keluarga menyebabkan dia pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari anak perempuannya itu.

“Saya berjumpa dengan anak berhampiran rumah didiaminya, dia kemudian memaklumkan kepada saya dia telah sertai kumpulan bernama ‘Gang 24’ selepas bertemu ahlinya di sebuah pub.

“Dia kata kumpulan itu akan memberinya perlindungan. Perlindungan bagaimana dan dari apa saya tidak pasti, dia juga sudah tidak meminta wang dari saya dan saya tidak tahu dari mana dia dapat duit untuk belanja harian,” katanya.

Susulan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat baru-baru ini di Batu 9, Cheras bagi mendapatkan bantuan untuk membawa anaknya keluar daripada kumpulan terbabit.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sejak Mac lalu terdapat enam kes dilaporkan kepada pihaknya berhubung anak remaja menyertai kumpulan gengster.

“Seperti kes Puan Cheo ini, kita tidak tahu kegiatan apa yang kumpulan terbabit lakukan kerana anaknya hanya memaklumkan dia dapat perlindungan dari kumpulan itu.

“Perkara ini merupakan masalah serius kerana remaja-remaja tersebut boleh terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI