PETALING JAYA – HB Global Limited (HB Global) bercadang untuk mengembangkan perniagaan hilirannya dalam bidang makanan dan minuman (F&B) bagi mengoptimumkan margin keuntungan dan mengembangkan asas pendapatan syarikat.
Menurut Pengerusi baharu Kumpulan yang baru dilantik, Datuk Muhammad Abdullah, pihaknya juga bakal meneroka pengembangan huluan dalam bidang pertanian dan akuakultur.
Jelasnya, strategi ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran dan kecekapan kos, memastikan bekalan bahan mentah yang mampan serta untuk meneroka peluang pasaran baharu bagi mengembangkan aliran hasil baharu.
“Saya percaya pengurusan syarikat komited untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran dengan memperkenalkan idea perniagaan yang inovatif dan memanfaatkan teknologi canggih.
“Keselamatan makanan adalah isu kritikal global yang penting untuk pembangunan perniagaan HB Global. Sehubungan itu, kami akan menyediakan produk makanan yang selamat dan boleh dipercayai melalui kawalan kualiti yang ketat dan pembangunan produk yang inovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bersempena pelantikan ahli lembaga baharunya melibatkan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif dan dua Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa Isnin lalu bertujuan untuk mengukuhkan pasukan kepimpinannya.
Muhammad yang juga Ketua Pemerintah Johol, Negeri Sembilan itu turut memegang beberapa jawatan dan antaranya adalah sebagai Pengasas Yayasan Undang Johol, Pengerusi Kebajikan Datuk-Datuk Adat Johol dan Naib Pengerusi Persatuan Anti-Dadah Kebangsaan Negeri Sembilan.
Selain itu, turut disenaraikan dalam kumpulan nama Lembaga Pengarah HB Global yang baru dilantik adalah Chin Nyat Fwu dan Elizabbeth Siew, kedua-duanya akan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Nyat Fwu memiliki pengalaman selama 25 tahun pengalaman korporat dalam perakaunan dan kewangan dan sebelum itu beliau pernah menjawat jawatan Pengurus Besar Kanan di Selangor Holdings Sdn. Bhd. sejak tahun 2014 dan pernah berkhidmat sebagai Pengawal Kewangan di sebuah hotel terkemuka di Sydney.
Elizabbeth Siew pula adalah Rakan Kongsi di Gan & Zul Advocates & Solicitors yang memiliki pengkhususan dalam undang-undang hartanah dan juga ahli pengasas Persatuan PropTech Malaysia.
HB Global telah disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 17 Disember 2020 dan terbabit dalam bidang perniagaan utama pemprosesan makanan, pengkhususan dalam penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan pelbagai makanan sedia untuk dimakan. -KOSMO! ONLINE