fbpx

Guru dituduh ‘sentuh’ murid bagi alasan keluarga susah rayu jaminan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang guru agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun, April lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhrurrazi Abdul Rasid, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi di sebuah madrasah dalam daerah Melaka Tengah pada 21 April 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan RM20,000 dikenakan.

Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang guru sambilan institusi berkenaan dan berasal daripada keluarga susah.

Tambahnya, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun juga hanya berkelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mempunyai sijil khatam hafazan al-Quran.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak Rohatul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 30 Ogos ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI