fbpx

Graduan ijazah UK tolak kerjaya demi adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Noor Ashikin bersama adiknya Putera Shahrul di rumah sewa mereka di Flat Mantin, Nilai semalam.

NILAI – Seorang graduan universiti terpaksa menolak tawaran kerja sebagai pegawai pentadbiran sebuah universiti swasta demi menjaga dua adiknya termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) disleksia.

Puteri Noor Ashikin Abdullah, 29, berkata, kehidupan mereka tiga beradik diuji apabila ibunya meninggal dunia 10 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya, manakala ayah mereka menghilangkan diri sejak kecil.

Kini Puteri Noor Ashikin tinggal menyewa di sebuat flat di Mantin di sini bersama adiknya, Putera Shahrul Qusyairi, 13, yang menghidap disleksia dan Putera Amirul Rashidin, 17.

“Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Leeds Beckett United Kingdom iaitu program berkembar dengan Kolej Universiti Linton, Mantin.

“Saya pernah dapat tawaran sebagai pegawai pentadbiran sebuah universiti swasta di Sela­ngor, tetapi terpaksa melupakan kerjaya itu kerana adik bongsu yang menghidap ­disleksia perlu dijaga sepanjang masa.

“Adik memerlukan sokongan, badannya kurang kuat, senang jatuh selain pada masa tertentu menjadi hiper (terlalu aktif),” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Mantin, di sini baru-baru ini.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Puteri Noor Ashikin menjalankan servis home tutor dengan menyediakan modul pembelajaran kepada anak-anak tadika hingga tingkatan lima di sekitar Nilai dan Mantin.

“Pendapatan yang diperoleh kurang RM1,000 sebulan dan tidak cukup untuk kos belanja harian, selain rumah sewa telah tertunggak tiga bulan sebanyak RM1,500,” ujarnya.

Mengimbau semula detik kehilangan ayahnya, Puteri Noor Ashikin berkata, ketika itu dia berusia 19 tahun dan belajar dalam tahun pertama di Kolej Universiti Linton, Mantin.

Selepas pemergian ibu, dia terpaksa membawa salah seorang adiknya tinggal bersama di asrama kolej selama tiga bulan kerana tiada ahli keluarga lain mahu menjaga ketika itu.

“Mujur rakan sebilik faham situasi saya, apabila ke kelas saya tinggalkan adik yang ketika itu berusia tujuh tahun di bilik selain bekerja ‘part time’ di restoran.

“Adik bongsu pula ketika itu masih bayi dan dijaga sementara oleh rakan ibu yang tinggal di Pe­rak,” katanya.

Tambahnya, ketika menyam­bung pengajian, kedua-dua adiknya tinggal di pusat kebajikan.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Puteri Noor Ashikin di talian 011-12643718 atau menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0899529000336432.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI