LONDON – Arsenal sah menyertai saingan untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Juventus, Federico Chiesa yang dilaporkan turut menarik minat Tottenham Hotspur untuk mendapatkan khidmatnya.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu dilapor sudah berjaya mendapatkan khidmat seorang pemain Itali, Riccardo Calafiori yang akan melengkapkan perpindahan sebaik ujian perubatan dijalankan dan kini menjadikan Chiesa sebagai sasaran baharu.
Berdasarkan laporan akhbar di Itali, Arsenal dilaporkan cuba untuk mendapatkan maklumat mengenai pemain itu yang memasuki tahun terakhir kontraknya di Turin untuk menyaingi Spurs yang turut menginginkannya.
Chiesa dikatakan mahu memilih pasukan yang bermain di Liga Juara-Juara menyebabkan Arsenal menjadi pilihan tepat berbanding Spurs yang gagal melayakkan diri ke saingan berkenaan musim baharu nanti.
Juventus meletakkan tanda harga berjumlah €25 juta (RM126.30 juta) untuk mereka peroleh hasil penjualan Chiesa, namun Arsenal perlu berdepan satu lagi cabaran dari kelab London, Chelsea yang sedang menilai potensi perpindahan tersebut.
Chelsea yang dikemudi Enzo Maresca yang juga dari Itali turut merasakan faktor berkenaan mampu menarik perhatian Chiesa bagi menjadikannya kerjaya di kelab baharu nanti berjalan dengan lancar.
Pengendali baharu Juventus, Thiago Motta juga memberi bayangan bahawa Chiesa tidak akan berada dalam perancangannya dan bersedia melepaskan pemain itu pegi. – AGENSI