NEW YORK – Penjaga gol Manchester City, Ederson tidak dapat menafikan perasaannya masih lagi berbelah bagi untuk menentukan masa depannya.
Ketika timbul minat daripada kelab Arab Saudi, bintang dari Brazil itu mengakui masih sayangkan kariernya di bawah kendalian Pep Guardiola.
Sebelum ini Guardiola juga pernah menyatakan hasrat untuk mengekalkan Ederson di Etihad selepas sekian lama muncul sebagai pemain penting buat pasukan sejak mula tiba di Manchester pada 2017.
Ketika ditanya mengenai status sebenar perjalanan kariernya musim depan, Ederson menjelaskan dia belum buat sebarang keputusan namun berterusan memuji kualiti Guardiola.
“Belum buat keputusan namun untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh Pep adalah sesuatu yang menggembirakan. Kini saya memasuki tahun kelapan bersamanya dan mengharungi detika suka duka bersama.
“Pep adalah seorang individu yang kami senang untuk bekerja bersama dan semua orang tahu dia adalah genius dalam bola sepak.
“Saya gembira berada di sini dan sekarang dalam proses untuk berada di tahap terbaik,” katanya.
Sepanjang kariernya di Etihad, Ederson melakukan 332 penampilan dan 155 daripada berakhir tanpa bolos. – AGENSI